Selamat Maju Jaya Feldaku

Felda jauh dari ‘lubang muflis’

Artikel oleh Azman Anuar di akhbar ini pada 9 September lalu mempertahankan Felda yang kebelakangan ini menjadi topik hangat dalam kalangan pembangkang - Felda kononnya bankrap dengan aliran tunainya merosot. Betul kata Azman, Felda memang jauh dari ‘lubang muflis.’

Saya merupakan generasi kedua peneroka Felda dan amat bersyukur kerana ayah adalah antara 112,635 keluarga Felda yang telah berjaya mengeluarkan diri daripada kemiskinan.

Sehingga kini, saya telah meniti pelbagai kejayaan kerana berkat hasil jualan sawit dari ladang ayah. Malah selama 23 tahun saya membesar di Felda, banyak perkara yang telah menyedarkan saya betapa beruntungnya mereka yang terpilih menjadi peneroka tanah rancangan tersebut.

Saya amat yakin bukan saya seorang sahaja yang mengatakan terlalu banyak jasa Felda kepada kami sekeluarga. Hidup kami penuh harmoni tanpa sebarang masalah. Namun, setelah pembangkang mulai menguasai beberapa negeri, isu yang mengatakan Felda kejam terus menjadi ‘buah mulut’ segelintir peneroka.

Sepanjang hidup, jatuh bangunnya kami, Felda sentiasa bersama. Saya ke universiti awam berkat pembiayaan Felda. Rumah kayu yang kami mula-mula duduk, kini bertukar wajah. Itu pun berkat daripada titik peluh ayah dan ditambah dengan pinjaman daripada Felda yang kini habis dibayar.

Masjid di Jengka, Pahang ini pun Felda yang hulurkan sumbangan. Baru-baru ini, tempat futsal telah siap dibina dan terkini ayah telah dapat duit raya yang menjadi tradisi Felda sejak 2003.

Betul kata Azman, Felda Plantations hanya menguruskan 341,000 hektar atau 39 peratus dari tanah Felda. Tetapi, hasilnya cukup lumayan untuk disalurkan semula bagi membangunkan serta menambah baik kawasan kami.

Kami ada segala-galanya di sini, Kedai 1Felda, Internet dan WiFi yang menjadi kegilaan anak-anak muda masa kini. Adakah ini ciri-ciri institusi yang bankrap?

Kejayaan penyenaraian syarikat Malayan Sugar Manufacturing Holdings Bhd. (MSM) baru-baru ini juga menunjukkan pencapaian anak-anak syarikat Felda. Tapi, alangkah bagus sekiranya para peneroka dapat menjadi pemegang saham dan bukannya menikmati dividen daripada Koperasi Peneroka Felda (KPF) sahaja.

Kalau benar dakwaan Felda bankrap, 112,635 peneroka yang dikeluarkan daripada kemiskinan pun turut bankrap.

Hakikatnya, kereta-kereta masih berderetan di halaman rumah-rumah. Malah, ayah mahu besarkan rumah lagi memandangkan cucu pun sudah ramai.

Pada pandangan saya hanya satu – terdapat pihak yang tidak menyenangi kelebihan yang dimiliki oleh peneroka Felda. Mereka sendiri yang kini cuba untuk menjatuhkan Felda kerana dengkikan institusi tersebut berkembang baik dan terus-menerus membela nasib golongan Melayu yang tidak berharta ini.

Renungkanlah! Awalnya penubuhan tanah rancangan ini, orang Melayu yang memohon dan datang ke tanah rancangan Felda datang dengan sehelai sepinggang sahaja. Amat susah, miskin dan datang dengan ‘harapan setinggi gunung’. Kini apabila semua sudah dimiliki, ada pihak datang ke kawasan Felda untuk memecah belahkan kami.

Apa yang jelas kini, Felda sedang ‘digoncang’ oleh pihak tertentu kerana mereka melihat Felda merupakan kubu kuat yang menyokong kerajaan.

Pelbagai fitnah serta tohmahan dilemparkan semata-mata kerana mahukan Felda ‘runtuh menyembah bumi’ dan orang Melayu kembali jatuh tertiarap dan mengemis di bumi sendiri. Adakah pihak tertentu ini akan memberikan bantuan kelak?

Harapan saya agar jangan ada dalam kalangan peneroka yang terus-menerus mempercayai dakyah serta tohmahan yang mengatakan Felda adalah kejam dan menyeleweng.

Sesungguhnya, rezeki yang diberi oleh Allah SWT melalui Felda amat banyak. Ia bukan sahaja dinikmati oleh peneroka awal, tetapi kini oleh warisan generasi anak cucu Felda.

Saya amat berbangga kerana menjadi sebahagian warisan kepada institusi Melayu yang paling berjaya kini.

GENERASI PENEROKA KE-2

Jengka, Pahang.

1 komentar:

coretanmamatvetdihati mengatakan...

/syabas feldakerana begitu gigih memperjuangkan nasib bangsa...kepada semua anak2 felda syukurilah nikmat kurniaan ilahi dan sematkan nilai terima kasih d kalangan kita....bukan hanya sama2 bekerjasama merudumKan organisasi yg megah berdiri...